Popular Posts

Friday, October 15, 2010

11 jenis manusia didoa Malaikat

  PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh." 

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

Selawat ke atas Rasulullah perintah wajib


Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?
Jawapan
Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).
Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.
Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.
1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.
2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.
Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).
3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.
3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.
4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.
5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.


Bersatu syarat Islam gemilang



Dari Sauban ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar mengerumuni makanan. Mereka bertanya: Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih air bah. Dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit watan itu wahai Rasulullah? Maksudnya ialah di dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dunia dan takut mati”. (riwayat Abu Daud).
Demikianlah gambaran yang berlaku pada umat Islam hari ini. Bilangan Muslim di seluruh dunia yang melebihi 1 bilion ternyata tidak menggentarkan musuh waima Israel yang kecil itu.
Contoh terbaru adalah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza. Walaupun, rejim zionis itu dikelilingi oleh negara-negara Islam Arab, rakyat Palestin terus dizalimi tanpa pembelaan.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual Pensyarah Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Prof. Madya Dr. Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad bagi mengupas isu ini.
Apakah hikmah Nabi Muhammad SAW diutus di kalangan umat Arab?
NIK ROSDI: Rasulullah adalah keturunan Nabi Ibrahim iaitu antara nabi yang bukan dalam kalangan Bani Israel. Memanglah kebanyakan nabi yang diutuskan Allah adalah dari kalangan Bani Israel.
Semasa baginda diutuskan ke muka bumi, masyarakat Arab dari segi tamadunnya adalah lebih menonjol berbanding Bani Israel. Akhirnya, mereka seolah-olah dikongkong oleh bangsa lain. Bani Israel juga hidup nomad.
Mereka juga adalah digelar bangsa kibti Firaun yang dianggap hamba atau buruh kasar. Sebab itu Firaun mengejar Nabi Musa dan Bani Israel yang keluar dari Mesir ke Laut Merah yang akhirnya menyaksikan kematian Firaun ditelan air laut.
Sebab utamanya, kerana Firaun bimbang kerja-kerja membangunkan Mesir akan terbantut jika Bani Israel tidak ada.
Pada masa yang sama, ada banyak masalah yang melanda bangsa Arab semasa zaman jahiliah. Mereka terkenal sebagai bangsa yang amat taksub kepada perkauman atau assabiah. Mereka juga suka bergaduh sesama sendiri. Pendek kata, apa yang berlaku pada Bani Israel seolah-olah ada pada bangsa Arab.
Dengan itulah, Allah mengutuskan baginda untuk menyelesaikan segala masalah. Perutusan Rasulullah SAW ke muka bumi ini seperti kita semua sedia maklum adalah sebagai rahmat ke atas sekelian alam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107)
Bangsa Arab ini selain mempunyai kiblat dan kitab yang satu juga berbahasa yang sama. Yang peliknya, mereka tidak juga boleh bersatu menentang zionis. Di mana silapnya?
NIK ROSDI: Orang Arab ini dulunya memang suka bergaduh. Sehinggakan nabi pun dibunuh. Contohnya, Nabi Zakaria yang disembelih oleh mereka.
Nabi Muhammad SAW telah diingatkan tentang hal itu semasa baginda diutus oleh Allah. Sebab itu antara tindakan awal baginda selepas berhijrah adalah mempersaudarakan puak Muhajirin dan Ansar. Kemudian menghubungkan puak yang bertelagah di Madinah iaitu suku Bani Nadhir, Qainuqa’ dan Khuraizah.
Selepas itu, baginda membentuk Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) sebagai undang-undang yang diterima pakai di kalangan penduduk di sana.
Membentuk perpaduan ini amat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Ia adalah kunci kepada kekuatan sesebuah bangsa dan negara.
Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam), janganlah kamu berpecah belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu...(ali-‘Imran: 103)
Sepatutnya orang Arab lebih memahami hal ini. Namun mereka nampaknya tidak membaca al-Quran dan tidak ambil manfaat daripada kitab suci itu. Ini juga menunjukkan kesan penjajahan Barat yang sangat mendalam kepada orang Arab.
Dalam kes di Palestin, difahamkan ada di kalangan anggota Fatah yang memberi maklumat lokasi pejuang Hamas kepada puak zionis. Apakah jenis orang Islam begini?
NIK ROSDI: Dalam Islam ada golongan yang munafik. Mereka ini tidak senang hati dengan Islam. Sentiasa mencari jalan memusnahkan orang Islam.
Di Palestin, Hamas adalah lebih dekat dengan Islam manakala Fatah pula bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS). Jadi musuh menggunakan Fatah untuk menjatuhkan Palestin.
Pertelingkahan Fatah dan Hamas adalah punca krisis di Palestin. Barangkali mereka lupa kepada firman Allah yang bermaksud: Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)
Inilah yang berlaku di kebanyakan negara kuasa besar. Mereka gunakan golongan munafik untuk menjatuhkan Islam. Contohnya, di Afghanistan. Apabila menghadapi serangan Rusia, puak Islam yang bertelagah bersatu tetapi apabila Rusia balik mereka bergaduh semula.
Kemudiannya, muncul kumpulan Taliban yang menghadapi saingan daripada Pakatan Utara. Akhirnya, AS gunakan Pakatan Utara untuk menjatuhkan Afghanistan.
Islam menetapkan ketaatan kepada Allah dan rasul itu sebagai mutlak. Walhal ketaatan kepad a pemimpin itu selagi mana mereka mentaati Allah dan rasul-Nya.
Janji Israel memang tidak boleh dipercayai. Justeru apakah persiapan yang perlu ada di kalangan negara Islam bagi menghadapi puak zionis ini?
NIK ROSDI: Sifat orang Yahudi ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”...(al-Baqarah: 120)
Apa yang malangnya, itulah tabiat umat Islam. Mereka suka menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai kawan sebaliknya Muslim itu sebagai lawan.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda SAW: Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)? (riwayat Bukhari dan Muslim)
Untuk itu, kita tidak ada jalan lain selain kembali bersatu mengukuhkan perpaduan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan penting dalam dalam hal ini.
Kita perlu mencontohi tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas hijrah baginda ke Madinah.
Seterusnya, golongan ulama dan umarak (pemerintah) perlu digabung jalinkan. Sebabnya kedua-dua pihak mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
Membiarkan perpecahan antara kedua-duanya adalah antara faktor kejatuhan tamadun Yunani Greek. Ia berlaku apabila pemerintah memberi keutamaan kepada golongan Solon dan mengabaikan golongan Socrates (ahli falsafah). Akhirnya puak Socrates bangun memberontak dan membawa kepada tamatnya era kegemilangan tamadun Yunani.
Amir Syakib Arsalan dalam bukunya Mengapa Bukan Islam alami kemajuan dan kenapa Umat Islam alami kemunduran antara lain menjelaskan umat Islam tidak pandai membangunkan potensi yang ada seperti minyak untuk kemajuan umat.
Yang kedua, umat Islam cintakan permusuhan. Apabila hadapi musuh (bukan Islam) mereka bersatu tetapi selepas itu mereka kembali bertelagah.

Perjalanan Nabi Muhammad melewati lembah berbatu


PADA ada suatu hari, Rasulullah dan para pengikutnya telah bermusafir untuk menghadapi Perang Tabuk. Sebelum meneruskan perjalanan, mereka singgah di suatu tempat untuk beristirehat.
Sambil beristirehat, para sahabat berjalan-jalan menuju ke satu longgokan batu-batan. Batu-batan itu adalah kesan peninggalan kaum Tsamud pada zaman Nabi Saleh.
Ketika melalui kawasan tersebut, mereka menjumpai beberapa buah perigi. Perigi-perigi itu pernah digunakan oleh kaum Tsamud sebagai sumber minuman dan ternakan mereka.
Lalu para sahabat mengambil air dari perigi itu untuk menghilangkan dahaga. Mereka juga menggunakan air tersebut untuk mengadun roti.
Apabila Rasulullah mengetahui tentang perkara tersebut, baginda melarang mereka menggunakan air itu. Baginda juga menyuruh para sahabat supaya membuang adunan roti itu untuk dijadikan makanan unta.
Kemudian Rasulullah mengajak pengikutnya berpindah ke perigi yang pernah digunakan oleh unta Nabi Saleh. Walau bagaimanapun, baginda melarang mereka memasuki wilayah kaum Tsamud yang telah diazab oleh Allah suatu ketika dahulu.
Baginda bersabda, "Aku khuatir kalau kamu akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa kaum Tsamud. Oleh itu janganlah kamu masuk ke wilayah mereka".
Baginda juga bersabda, "Jangan kamu menjejakkan kaki ke tempat orang-orang yang pernah diseksa, kecuali kamu menangis. Sekiranya kamu tidak boleh menangis, jangan sekali-kali kamu menjejakkan kaki ke sana jika tidak ingin ditimpa bencana seperti yang mereka alami".
Lalu baginda menyeru pengikut-pengikutnya supaya mengerjakan solat berjemaah.
"Kami berasa takjub dengan mereka, wahai Rasulullah," kata salah seorang sahabat apabila mereka melihat kawasan tersebut.
Lalu Rasulullah pun berkata, "Kamu mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih mengagumkan daripada itu?
Perkara itu ialah apabila salah seorang daripada kamu menyampaikan berita kepada kamu tentang peristiwa yang terjadi sebelum dan selepas kamu. Oleh itu, luruskan dirimu dan rapatkan barisanmu nescaya kamu tidak akan diazab walau sedikitpun kelak".
Pengikut-pengikut Rasulullah akur dengan arahan baginda dan mereka mengerjakan solat berjemaah bersama baginda.
Ada sesetengah riwayat menerangkan ketika Rasulullah melintasi kawasan tersebut, baginda menundukkan kepala dan mempercepatkan langkahnya. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang bencana

Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah.

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH: SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selama berabad-abad  negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang  terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay  States)  ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi.  Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai.   Faktor kunci kejayaan ini  tidak lain adalah sikap ramah  bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”.   Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini  menikmati  kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.   Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan,  juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini.  Memang  dalam sejarahnya  Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam.    Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini.  Justeru,  kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing.  Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya.   Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak   diusek atau diganggu.
Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam.   Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka.   Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan  dan pendirian orang lain.   Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.
Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya,  Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain  Allah (Yang Maha Esa).  Hanya Dia yang bernama Allah,  nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya,  tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri.   Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud.    Ia adalah nama yang merujuk  Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan.  Sebagai nama khusus-Nya,  ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain.  Kerana  kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya,   Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai  nama khas (`alam)  yang tidak dipakai untuk selain-Nya.
Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya,  dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya.   Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya,  jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius.  Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap  dan muktamad,   definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, Katakanlah:  Dia-lah Allah,  Yang Maha Esa.    Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.  Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan.  Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”.    Penurunan  surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta  Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya.  Kerana itu surah ini bermula dengan kata  Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan  definisi tentang Allah.   Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik,  nama yang menolak syirik,  dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan).  Kerana itu surah ini disebut juga dengan  nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah  “...a Personality”,  bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.
Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama  Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani.   Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik,  termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid.   Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya,  lalu bagaimana mungkin  mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung  ini dipakai dalam konteks faham syirik.
Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya?  Selama ini,  sejak ratusan tahun,  tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah  dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa.  Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya,  malah telah dikembangkan tanpa masalah.   Lalu kenapa sekarang isu  ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif.  Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini.   Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam. 

Rasanya wajar sekali  kita merenung  kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:
What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution.  Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries.  Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes)  without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of  a good Catholic education.  Wrong!  It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church  has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision.  It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself.  On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever  as a monument to its credo, rather than for the blemishes  in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin.  Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya.  Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut.  Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”,  selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi.   Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya.  Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu,  zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi  Melayu.    Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan,  tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu  dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”.    Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh,  termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu.  Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat  Abdullah Munsyi.  Bagaimanapun  orang Melayu berpegang kuat dengan Islam.  Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.
Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu”  yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini,  era membina kesatuan dalam kepelbagaian.  Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari,  dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan.  Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di  luar Malaysia tidak semestinya relevan  dengan masyarakat kita.   Isu ini harus dilihat secara kontekstual.  Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman.  Fiqh kita  mengambilkira  `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah  mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

MUKJIZAT YAASIN

MUKJIZAT YAASIN




oleh Tuan Haji Mohd Razali Deraman

Mukjizat yang di turunkan oleh Allah s.w.t kepada RasulNya adalah Al-Quran. Ianya kekal di jaga oleh Allah
s.w.t sehingga sekarang yang mana didalamnya mengandungi Surah Yaasin (Surah Al- Makkiah). Surah
Yaasin merupakan intipati tazkirah yang disampaikan. Surah yang ke 36, Juzu' ke 22 & 23 mengandungi 83
ayat, 3 helaian dan 84 baris.
INTISARI AYAT menegaskan kebesaran Al-Quran dan RasulNya berada di jalan yang benar.
Memperlihatkan orang-orang yang degil dan tamak haloba dengan harta-harta dan pangkat dan mereka ini
tidak akan beriman dan kekal dalam kekufuran.
Peringatan dan amaran Allah swt dalam Al-Quran adalah memberi kesan kepada orang yang ingin beriman
dengan Al-Quran walaupun mereka tidak melihat Allah s.w.t dan azab-azab yang diceritakan di dalam Al-
Quran. Diceritakan juga didalamnya tentang satu golongan pada zaman Nabi Isa a.s.; utusan di hantar
kepadanya supaya beriman tetapi mengingkarinya telah mendapat azab. Mereka yang beriman pula
mendapat balasan yang sebaik-baiknya.
Allah s.w.t. menegaskan betapa besarnya kekesalan mereka yang ingkar kata Tuhan ;tidakkah kamu
melihat umat-umat yang terdahulu yang telah kami binasakan seperti Kaum Luth , Kaum Add , Kaum
Samud dan Kaum Firaun. Tiada satu makhluk pun termaksud KITA akan dihimpun di hari akhirat dan untuk
mendapatkan balasan yang setimpal nanti. Pada hari itu anggota kita menjadi kesaksian.
Allah swt memperlihatkan kekuasaannya :
i. Bumi yang mati di hidupkan dengan tanaman-tanaman yang subur.
ii. Binatang-binatang berpasang-pasangan.
iii. Bulan , bintang , matahari beredar pada tempat yang di tetapkan. Siang dan malam silih
berganti.
Pada akhir surah, Allah s.w.t memperlihatkan akan kekuasaannya , dengan berfirman kepada hakikat
sesuatu itu , jadilah engkau – maka jadilah ia.
KELEBIHAN SURAH YAASIN
• Hadrat Ata Ibn Abi Ribah berkata , Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Siapa yang membaca surah
Yaasin di permulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan di penuhi.”
• Segala sesuatu mempunyai hati,dan hati bagi Al Quran ialah surah Yaasin. Barang siapa yang
membaca surah Yaasin , Allah s.w.t. akan menulis pahala baginya seumpama ia membaca seluruh
Al Quran sebanyak 10 kali.
• Allah s.w.t. membaca surah Yaasin dan surah Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya
langit dan bumi. Para malaikat berkata “Ummat dimana Al Quran di turunkan akan dirahmati hatihati
yang memikulnya, yakni yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya
akan juga di rahmati.”
• “ Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t. segala dosa-dosanya
akan yang dahulu akan diampunkan. Jadikan sebagai amalan untuk dibaca keatas orang-orang
mati.”
• Surah Yaasin di namakan Mun’mah (pemberi berita baik) di dalam Torah kerana ia mengandungi
manfaat kepada pembacanya, di dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat.
• Ia menghindarkan penderitaan di dunia dan juga di akhirat dan menjauhkan kedasyatan di
kehidupan akhirat.
• Ia juga di kenali sebagai Rafi’ah Khafidah iaitu mengangkat darjat orang-orang yang ingkar (tidak
beriman). Riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda , “ Hatiku menghendaki supaya surah Yaasin berada
di setiap hati umatku.”
• Jika surah Yaasin di baca pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia , ia akan mati
sebagai mati syahid.
• Diriwayatkan dalam hadis lain, “ Barang siapa yang membaca surah Yaasin akan diampunkan,
sesiapa sahaja yang membacanya semasa kelaparan, akan di hilangkan kelaparannya itu,
barangsiapa yang membacanya dikala sesat jalan, akanmenjumpai jalan semula, barangsiapa
membacanya kerana kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, bila seseorang itu
membacanya kerana bimbang kekurangan makanannya,makanan itu akan mencukupi, jika ia
dibaca kepada orang yang membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan
dimudahkan baginya dan jika dibaca keatas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak, akan
dimudahkan bagi bayinya.
• Maqri Rahmatullah Alaihi berkata, “ Jika surah Yaasin di baca oleh seseorang yang takutkan
pemerintah atau musuh, ia akan dihilangkan dari ketakutan itu.”
• Menurut hadis yang lain, jika membaca surah Yaasin dan surah Was-Saffat pada hari jumaat dan
memohon kepada kepada Allah s.w.t sesuatu,doanya akan diterima.

(Dipetik daripada Tafsir Surah Al-Yaasin oleh Shiekh Hamimy Zadah)
Peringatan kepada amalan sembahyang Dhuha, ringkas hanya 2 rakaat beserta doa untuk kesihat dan
murahrezeki. Petua amalan untuk orang berjaya dan murah rezki, Ayat 1000 Dinar danSurah Yusof ayat 37

Wednesday, October 13, 2010

Nukilanku..Ilhamnya dari yg Esa...

6 nukilan yg boleh dijadikan panduan untuk kita :

-kesusahan tak dipinta , kesenangan harus dicari , tetapi bila dtgnya kesenangan , jgn lagi dicari kesusahan... 

-berkawan biarlah beribu..namun begitu yg elok kita ambil ,yg memudaratkan kita jauhi..

 -jadikan apa pun yg berlaku di depan mata sbg ilmu yg berguna pada diri.. 

-Janganlah dunia membuat kita lupa tentang arti sebenar hala tuju kita...Ingatlah bahawa dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali..
  
-Mengadu kepada yg Esa adalah jauh lebih baik dari mengadu kepada manusia tentang masaalah kita yg belum pasti boleh difahami dgn sebaiknya
  
-Ya Allah, semoga dgn kemanisan beribadat ini dpt menghakis sedikit demi sedikit rasa cintaku kepada dunia yg fana ini..